10 Tanda Anak Mengidap Autisme

July 05, 2018

Tanda Anak Mengidap Autisme | Autisme, atau nama penuhnya Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan sebuah kecelaruan perkembangan-neuro (neurodevelopmental disorder) yang kini semakin mendapat perhatian ramai. Kanak-kanak Autisme ini tiada bezanya pada fizikal berbanding kanak-kanak tipikal yang lain. Tetapi mereka mempunyai beberapa simptom yang boleh dikenalpasti oleh para ibu bapa atau guru. Namun diingatkan bahawa, perkongsian kali ini bukan diagnosis, kerana itu hanya boleh dijalankan oleh pihak pakar seperti Psikologis Klinikal atau Pakar Pediatrik. Semoga perkongsian mengenai tanda anak mengidap autisme ini membantu anda.

Kredit : Jabatan Profesional Muda DPPM


tips keibubapaan, tanda anak autisme, kesan autisme, tanda anak mengidap autisme

10 Tanda Anak Mengidap Autisme


1. Tidak Sensitif Dengan Nama Sendiri Apabila Dipanggil (Tiada Respons)
Autism, asal perkataannya ialah "Autos", perkataan Greek yang bermaksud "Self". Ini kerana, individu Autisme memang selalu dikaitkan "berada dalam dunia sendiri" dan tak berbicara dengan orang sekeliling.

Pendek kata, mereka hanya dengan "Self" mereka.

Ini menjadikan mereka kadang-kadang tidak 'aware' dengan nama sendiri, berbeza dengan kanak-kanak biasa yang mungkin pada umur 1-2 tahun, sudah mula respons apabila dipanggil nama mereka.

2. Tiada / Kurang Kemampuan Untuk ‘Pretend Play’
Pretend Play ialah kemampuan untuk bermain dengan objek/mainan mengikut imaginasi sendiri (bermain olok-olok).

Bermain masak-masak, main tangkap hantu (kejar-kejar), Tembak-tembak laser.

Kerana salah satu impairments ialah Social Imagination, maka keterbatasan mereka ialah untuk membina imaginasi tersendiri mengikut objek yang dimain.

3. Tidak Memandang Mata Dalam Interaksi
Mereka tidak memahami konsep pandang mata. 'Eye contact' merupakan 'Social Cue' yang asas dalam apa-apa interaksi sosial. Ini menjadi salah satu ketidakupayaan kanak-kanak Autisme untuk fahami, kerana berbeza dengan individu 'tipikal', kita mampu untuk memahami komunikasi tidak langsung seperti kelantangan suara, pandangan mata, gestur tangan dan lain-lain.

4. Selalu / Suka Berseorangan (Dalam Dunia Sendiri)
Bagi mereka, interaksi sosial itu bukan prioriti hidup dan mereka lebih gemar bermain bersendirian, berpusing-pusing badan, melompat sendirian dll.

5. Tidak Memahami Emosi/Perasaan Orang Lain
Kita secara automatik akan berasa sedih apabila ada orang menangis, atau rasa simpati melihat orang dalam kesakitan. Konsep memahami emosi orang lain merupakan sesuatu yang tidak dapat dirasai oleh individu Autistik.

6. Lambat Bercakap (mengikut tahap umurnya), Tidak Bercakap Langsung atau Echolalia
Tetapi pertuturan terbantut (speech delay) tidak semestinya seseorang itu Autisme. Ia salah satu simptom. Echolalia pula ialah apabila seseorang itu tak dapat hasilkan pertuturan sendiri, maka dia akan ulang semula apa orang lain cakap.

Jika ditanya “Adik nak nasi?”, beliau akan balas, “Adik nak nasi?”

7. Tidak Suka / Marah Dengan Sesuatu Perubahan (Rigid dengan jadual seharian)
Kanak-kanak Autistik memang dikenali dengan sifat mereka yang mahu semuanya tetap mengikut asal dan tiada perubahan walaupun sekecil mana pun.

Kalau menaiki kereta dengan ibunya ke sesuatu tempat, selalunya mengikut jalan itu dan ini, satu hari ibunya memilih untuk mengikut jalan lain kerana kesesakan jalan, si anak (Autisme) akan mula mengamuk, memukul diri sendiri, kerana jadual mereka berubah.

Atau seorang kanak-kanak Autistik mengamuk apabila mainannya dialihkan oleh orang lain tanpa pengetahuannya.

8. Minat / Obses Terhadap Sesuatu Yang Spesifik (Savant Syndrome)
Pernah dilaporkan, seorang kanak-kanak Autistik lelaki berumur 4-5 tahun, pernah melukis seluruh kota London secara tepat dan terperinci, hanya dengan menaiki helikopter berpusing mengelilingi kota itu selama beberapa minit.

Ada juga kanak-kanak Autistik yang mampu menghafal sistem jalan raya di Kota London yang kompleks, hafal semua nama jalan dan sebagainya, walaupun tidak pernah menjejakkan kaki ke UK (hanya baca di peta, internet, buku dll)

Savant interest merupakan salah satu kekuatan kanak-kanak Autistik ini, tetapi bukan semuanya mempunyai kebolehan atau simptom ini.

9. Selalu Melakukan Sesuatu Perbuatan Berulang-Ulang Kali (Self-Stimulation)
Atau lebih dikenali sebagai 'stimming', ini ialah perbuatan yang tidak mempunyai apa-apa makna, dan hanya dilakukan sebagai stimulasi kepada deria mereka. Ini sebagai cara mereka mengekspresikan sesuatu ketika gembira, sedih, stres, marah dll. (seperti kita main rambut/tekan pen ketika berdebar atas pentas)

Bergantung kepada kanak-kanak, setiap stimming itu berbeza dan boleh berlaku pada deria yang berbeza. Contohnya,

Penglihatan - Suka tengok pintu ditutup, lampu berkelip-kelip, atau melihat bebola kristal.
Pendengaran - Suka dengar muzik sama berulang-ulang dan mengulanginya dengan mulut.
Sentuhan - Bermain dan melipat buku berkali-kali tanpa sebab
Pergerakan – Mengipaskan tangan atau berpusing badan depan dan belakang

Ada banyak lagi.

10. Mempunyai deria terlebih/terkurang sensitif
Dikenali sebagai Sensory Processing Disorder, masalah pada deria kanak-kanak Autistik ini merupakan antara perkara yang perlu diambil perhatian serius.

Ada 7 jenis sensori yang biasanya akan berlaku terlebih/terkurang sensitif ini, iaitu:

i. Penglihatan - Nampak cahaya terlebih silau atau kelam daripada biasa.
ii. Pendengaran - Dengar bunyi kipas seperti bunyi helikopter, atau titisan air paip seperti bunyi drum diketuk, maka tangan selalu menutup telinga (terlalu sensitif)
iii. Bau - Sentiasa mahu bau semua benda, termasuklah bau badan orang lain (sangat sensitif dan kenal orang berdasarkan bau)
iv. Sentuhan - Ada yang sensitif dengan tekstur pakaian, maka tak boleh pakai baju yang bukan daripada kapas. Atau ada yang merasakan air shower itu seperti jarum yang mencucuk, maka selalu menjerit apabila mandi.
v. Rasa - Terlalu geli apabila makanan yang lembik seperti jeli, agar-agar, dadih dll.
vi. Vestibular (Pergerakan) - Tak boleh duduk atas buaian, tak pandai imbangkan badan apabila kayuh basikal dll
vii. Proprioception (Posisi tubuh) - Kurang sensitif dengan tubuh sendiri, jadi selalu terlanggar barang, tersepak perabot dll.

Antara terapi yang boleh dijalankan untuk normalkan semula tahap sensitiviti deria mereka ini ialah melalui Sensory Intergration Therapy (SIT) yang boleh dijalankan oleh Terapis Cara Kerja (Occupational Therapist, OT)

Bagi ibu bapa atau guru yang menyedari simptom-simptom ini ada pada kanak-kanak, segera bawa berjumpa dengan pihak pakar seperti Psikologis Klinikal atau Pediatrik untuk mendapatkan penilaian yang selengkapnya.

Lebih awal diberi bantuan, lebih efektif intervensi tersebut. Insya Allah.

Aiman Amri
- Special Needs Educator -
Penulis merupakan graduan Psikologi daripada University of Nottingham. Beliau aktif berkongsi mengenai ilmu psikologi pada masyarakat awam. Beliau menjadikan media sosial sebagai platform untuk menulis dan mendidik orang ramai berkenaan pelbagai topik Psikologi seperti Kesihatan Mental, Autisme dan sebagainya.



~ Sharing is caring from Cikgu Norazimah ~



You Might Also Like

1 comments

Sebarang bentuk komen adalah tanggungjawab anda. CN tidak akan bertanggungjawab ke atas komen yang tidak berhemah.

Terima kasih di atas komen-komen anda.